Archive for December, 2012

31.12.2012

Salam.

Isnin. Hari terakhir tahun 2012. 2-3 hari ni satu pencapaian dalam kehidupan kerana kami sekeluarga berjaya membersihkan rumah, membuang barang-barang terpakai, buku-buku lama, resit, pamplet kursus yang berkurun disimpan kononnya untuk pelbagai tujuan rujukan…rumah pun jadi lapang, banyak ruang kosong dan jiwa rasa tenang…

Bukan senang nak buang benda-benda yang ada nilai nostalgia. Si faris yang akan ke darjah satu tahun 2013, dipaksa-rela untuk sort dan buang mainan-mainan yang berbakul-bakul, walaupun dah 2-3 kali mainan dia yang sudah dibuang sebelum ini koleksi baru tetap dibeli…so dah nasihatkan dia “abang dah masuk darjah 1, tak payah beli mainan lagi lah.” dia setuju pada konsepsual model tapi praktikal sukar untuk diimplementasi…masa akan berubah…

Kenapa hati saya jadi mudah untuk buang benda-benda yang disimpan ? Saya terbayang kalau saya dipanggail illahi, semua tu akan ditinggalkan, malah jasad ini pun kita tak bawa bersama…hanya amalan sahaja yang dibawa sebagai harta untuk ke sana. So, tak payahlah buat menyemak kat ruang-ruang rumah. Dah lah satu masa tu kena serang anai-anai then bila jiran renovate rumah habis bocor 2-3 kali..

Setiap apa yang terjadi tu adalah satu amaran untuk kita bertindak. Pada tahun 2010, rumah mertua saya di alor setar dilanda banjir luar biasa. Air dan selut memenuhi sampai ke ruang atas. 90% barang dalam rumah kena buang. Hikmahnya, rumah jadi kosong dan banyak barang yang disimpan kononnya untuk diguna lagi sebenarnya hanya disimpan sahaja turut dibuang. Sekarang rumah jadi kosong dan cantik bila dicat semula…

Kedatangan 2013, cukup 10 tahun kami tinggal di rumah sekarang….betul-betul flash back masa pindah dulu, ruang kosong dan tak banyak barang…lagi pun tahun ni both of us dah masuk umur 40…ruang yang kosong dan tidak serabut membuka ruang untuk bermuhasabah, mendalami ilmu, mencukupkan apa yang masih belum cukup untuk bekalan…bukan saham, pangkat ataupun harta….tapi ‘wa amalan mutakobbalan’

Leave a comment »

Tok Janggut – Pejuang atau Penderhaka?

TJ

Salam.

Sebuah koleksi yang saya simpan bukan saja kerana ia berkaitan sejarah kelantan tetapi ia adalah jawapan kepada persoalan salasilah keluarga yang tidak dapat dijawap oleh nenek sebelah ayah saya mengenai asal-usul keluarganya.

Antara hobi saya sejak kecil ialah membuat carta keluarga menggunakan kertas kalendar yang bersais besar kerana masa tu belum ada komputer. Arwah nenek saya agak ‘loss’ bila saya tanya tentang ayah, mak, datuk dan  nenek dia. Katanya dia dibela oleh bapa saudaranya sejak kecil..tidak tahu ke mana menghilangnya ayah beliau iaitu moyang sayalah..

Signifikannya, nenek saya tinggal di semerak, pasir putih. Bila balik kampung, kita akan melalui kg. padang pak amat, sekolah tok janggut dan ada signboard ke jeram pasu, kawasan perkelahan air terjun terkenal di kelantan. Arwah ayah selalu cerita pasal tok janggut yang kononnya kebal. Dia ditembak semasa sedang ambil wuduk kerana pada masa itu dia tanggalkan azimat ilmu kebal dia. (ALLAHuaklam bissawab)

Pertama kali saya terlihat buku ini di pesta buku kl, tapi tak beli. Jenuh saya cari di kedai-kedai buku selepas tu tapi tak jual. Then pada tahun 2005 di pesta buku kl saya terjumpa balik di booth UKM, edisi khas ulangtahun 90 peristiwa tersebut. Penulisnya ialah dr. nik anuar nik mahmud, professor pengajian sejarah UKM. Beliau adalah keturunan khatib abu bakar yang turut dibunuh oleh tentera upahan british. Saya membaca buku ini berulang kali untuk memahami situasi sebenar peristiwa berdarah di pasir putih pada tahun 1915. Dulu-dulu, saya suka tengok rancangan tv pendidikan mengenai perjuangan tok janggut di kelantan. Cerita di tv lebih difahami berbanding membaca buku..

So, keluarga ayah saya adalah penduduk pasir putih yang mana generasi terdahulu terlibat dengan rusuhan. Yang merusuh adalah penduduk jeram tetapi semua penduduk pasir putih dikenakan denda yang tinggi sebagai ganti rugi kerosakan akibat rusuhan tersebut. Sebenarnya pasir putih terletak dalam jajahan jeram. Sekarang orang tidak panggil jajahan jeram tetapi jajahan pasir putih. Kini jeram terletak dalam jajahan pasir putih. Sebab itu pemerintah adalah engku besar jeram bukankan engku besar pasir putih… jeram adalah kawasan pentadbiran tradisional, manakala pasir putih adalah kawasan seliaan daerah oleh british.

Untuk faham kisah tok janggut kita kena refer sejarah kelantan. Sebab itu buku keturunan raja-raja kelantan & peristiwa bersejarah tulisan nakula (refer entri ini) amat penting untuk dibaca terlebih dahulu supaya kita faham kronologi sejarah di kelantan.

Long yunus beri jajahan jeram kepada long ghafar

Long yunus mempunyai seorang sahabat/sepupu seperti seorang saudaranya sendiri iaitu long ghafar, anak datu (raja daerah) reman. (reman adalah wilayah patani iaitu dan sekarang adalah yala di thailand). Long ghafar membantu long yunus ketika berperang untuk menuntut takhta setelah ayahndanya dibunuh oleh long deraman. Setelah berjaya menjadi raja kelantan, long yunus menyerahkan jajahan jeram kepada long ghafar. Ia  meliputi limbat hingga ke pasir putih bermula tahun 1765. Long ghafar mempunyai kuasa autonomi ke atas kawasannya. Kawasan tersebut diwarisi dari satu ke satu generasi sampailah kepada engku besar jeram tuan ahmad bin ungku chik iaitu cicit long ghafar. – Jarak masa 150 tahun (1765-1915).

Perjanjian bangkok 1909

British mengambil-alih perlis, kedah, kelantan dan trengganu daripada kerajaan siam melalui perjanjian bangkok. Patani, menara, jalor dan setol kekal di bawah kerajaan siam. Ia dibuat tanpa persetujuan raja-raja melayu dan hanya melibatkan british dan siam. Sebelum itu dalam tahun 1904, kelantan sudah mempunyai penasihat siam berbangsa inggeris di kelantan. Long senik membantah (yang dipertuan negeri kelantan) tetapi ditolak oleh british. Pada tahun 1910, john anderson, gabenor negeri-negeri selat datang dengan kapal perang untuk memaksa long senik mengakui naungan british. Long senik akhirnya terpaksa tunduk dan menerima ‘british adviser’ sebagai penasihat. British mengiktiraf long senik dan mengelar baginda sebagai sultan muhammad iv, K.C.M.G. Sultan juga harus memastikan keamanan, jika gagal british akan campur tangan. Pentadbiran jajahan diletak di bawah ‘district officer’atau DO. DO pasir putih ialah abdul latif daripada singapura yang tidak disenangi oleh penduduk pasir putih kerana sombong dan angkuh.

Siapa tok janggut

Insan ini bernama tuan haji mat hassan bin panglima munas. Lahir pada tahun 1850 di kampung saring dalam jajahan jeram. Beliau dibesarkan di istana tengku seri maharaja jeram kerana ayahnya ialah panglima raja. Pernah belajar agama di mekah dengan ulama terkenal  berketurunan melayu iaitu sheikh ahmad al-fatani, anak murid sheikh daud abdullah al-fatani. Sheikh daud pernah turun berperang ketika siam menyerang kedah dan patani.  Ketika patani jatuh ke tangan siam (1902), haji mat hassan berada di mekah. Haji mat hassan diamanahkan oleh sheikh ahmad untuk membebaskan patani daripada kafir harbi itu.

Hak dirampas

Ketika di bawah naungan siam, graham yang berbangsa inggeris dilantik sebagai penasihat sultan. Dia telah mengubah sistem pentadbiran jajahan pada tahun 1904 dan mengenepikan hak keturunan long ghafar ke atas jeram. Sultan dan pembesar di kota bharu tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan penasihat kerajaan siam itu. Selepas perjanjian bangkok, pelbagai jenis cukai diperkenalkan di kelantan. Perkara ini menyusahkan rakyat. Sultan pula dibayar elaun sebanyak $2000 sebulan.

Haji mat hassan menawarkan diri untuk menubuhkan pasukan menentang british. Sebelum ke mekah haji mat hassan pernah berkhidmat sebagai panglima tengku seliya yang bergelar tengku seri maharaja jeram.

Engku besar jeram mengarahkan pengikut di pasir putih memulaukan bayaran cukai. Ini kerana rakyat dibebani dengan pelbagai cukai sedangkan rakyat hidup susah di kala itu. Abdul latif, DO pasir putih melapurkan cukai menurun daripada $3000 kepada $89.32.

Perang dunia 1

British terlibat dalam perang dunia 1 bersama kelompok perancis dan rusia menentang gabungan jerman dan austria. Risau jika rakyat kelantan mengambil kesempatan di atas kesempitan british, arthur young, gabenor negeri selat dan juga pesuruhjaya tinggi negeri melayu bersekutu mengingatkan langham-carter, british adviser kelantan untuk memastikan sultan kelantan memihak kepada british. Sultan muhammad iv menghantar telegram kepada king george iv untuk menyokong british dan berdoa agar menang. Haji-haji dan lebai di kota bharu diminta berdoa agar british menang melawan jerman. Arahan itu turut mengandungi ancaman jika tidak dipatuhi yang mana mereka akan dihukum.

Turki uthmaniah berperang dengan british

Sultan mehmed v, khalifah turki dan khalifah umat islam yang menjaga kota mekah dan madinah istiharkan perang kerana british menceroboh kawasan turki. Turki menyokong jerman. Ulama-ulama islam mengistiharkan jihad ke atas british. British sangat risau dengan perkara ini. Akhbar dilarang melaporkan berita peperangan tersebut. Sekali lagi sultan dipaksa menyokong british melawan turki. British menggunakan sultan untuk mengistiharkan larangan kepada rakyat kelantan daripada menyokong turki.

Pada 15 februari 1915, askar india muslim 5th light infantry di singapura, di bawah haji nur alam shah, imam masjid kg jawa telah memberontak sebagai menyahut seruan jihad turki. British benar-benar gusar dengan peritiwa ini kerana ia tersebar di kalangan rakyat kelantan.

Titik kejadian

Haji mat hassan kecewa apabila sultan mengistiharkan larangan kepada rakyat kelantan daripada menyokong turki. Beliau mengatur strategi untuk membebaskan pasir putih daripada british. Ini kerana pasir putih sememangnya wilayah autonomi keturunan long ghafar sejak 1765. 

Satu perjumpaan diadakan di rumah tok nik bas di kg tok akib pada 29 april 1915. Perkara ini diketahui oleh DO, latiff. Dia mengeluarkan waran tangkap dan mengarahkan ketua balai pasir putih sarjan che wan sulaiman pergi menangkap haji mat hassan. Haji mat hassan enggan menyerah dan dalam insiden itu sarjan che  wan kena tikam dan mati di situ. Dua mata-mata yang mengiringi lari ler..Latiff tak puas hati hantar lagi 8 mata-mata tetapi on the way, di kg kelubi beratus-ratus orang sedang menuju ke pasir putih. Apa lagi cabut ler..Latiff minta batuan kg kg gaal dan berangan tetapi mereka dah join kumpulan menuju ke bandar. Latif dan keluarga cabut lari melalui sungai semerak ke kb…

Apabila sampai di bandar pasir putih, tiada tentangan pun berlaku. haji mat hassan lalu istiharkan ungku besar jeram sebagai raja dan beliau sebagai perdana menteri. Di kota bahru, latiff repot kepada advisor apa yang terjadi.

Langham-carter, british adviser kelantan melapurkan kejadian di pasir putih kepada gabenor di singapura. Esoknya dia mengadap sultan dan meminta sultan hantar pembesar untuk berunding dengan haji mat hassan, jika gagal brtish akan masuk campur. Dia juga mengarahkan supaya pegawainya di tanah merah, bachok dan kuala krai mengetatkan kawalan keselamatan.

Rundingan di cherang tuli

Sultan menghantar dato bentara setia (mohd hassan mohd salleh) dan dato menteri (haji nik mahmud haji ismail) ke pasir putih untuk berunding dengan haji mat hassan dan engku besar jeram. On the way mereka singgah berjumpa haji che su dan bersetuju melantik haji lebai kadir sebagai orang perantaraan.

Haji mat hassan menjelaskan bahawa mereka tidak derhaka kepada sultan tapi hendak menghalau latif dari pasir putih. Haji lebai kadir menjelaskan kepada sultan namun atas cadangan british adviser serta disokong oleh dato bentara setia dan dato menteri, sultan ingin menangkap mereka juga atas kesalahan ‘menderhaka’ kepada kerajaan.

Waran dikeluarkan kepada lebai kadir, haji su, penghulu hussain, pa’da awang tukang dan penghulu adam bin pakcik bauk untuk menangkap pemberontak hidup atau mati.

Campur tangan british

British adviser sangsi dengan kebolehan sultan serta syak sultan dan pembesar seperti tg cik penambang bersimpati dengan haji mat hassan lalu meminta bantuan dari singapura. kapal h.m.s calmus bersama 239 askar dan sukarelawan melayu singapura tiba di kota bharu pada 5 mei 1915. Setelah mendaratkan askar, kapal h.m.s calmus mengawal muara sungai semerak untuk menghalang bantuan kepada haji mat hassan. Ia membedil ke arah pasir putih sebanyak 25 kali. Pada 9 mei 1915, askar british yang tiba dari kota bharu, keadaan di pasir putih lenggang, dan deretan kedai-kedai terbakar. Operasi menangkap gagal. Istana mengeluarkan surat untuk menyerah diri tapi haji mat hassan dan pengikutnya tekad untuk berjuang. Marah kerana haji mat hassan tidak menyerah diri, rumah-rumah mereka dibakar oleh british.

Pertempuran di kg dalam pupuh

Pada 24 mei 1915, satu serangan hendap dilakukan oleh pengikut haji mat hassan ke atas khemah british pada pukul 3 pagi tetapi tidak teratur. Esoknya, askar british telah mengeledah rumah khatib abu bakar kerana mengesyaki mereka bersembunyi di situ. Khatib abu bakar cuba menghalang askar-askar sikh masuk ke rumahnya tetapi ditikam hingga mati.

Pertempuran berlaku di kg dalam pupuh tidak jauh dari kg merbol. Haji mat hassan, tok abas dan tok hussein gugur. Engku besar jeram dan pemimpin yang lain berjaya melarikan diri.

Mayat haji mat hassan dibawa ke kota bahru, diarak dan digantung selama 4 jam dengan kaki di atas kepala di bawah.

Begitulah ceritanya berdasarkan buku ini..

Dalam senarai mereka yang dikehendaki itu adalah nama moyang saya…nama rahsialah…Arwah ditangkap dan dijatuhkan hukuman tembak pada 22 ogos 1915. Dengan sebab itulah, salasilah keluarga nenek saya sengaja dipadamkan atau disembunyikan demi keselamatan dan kesinambungan zuriat mereka di bumi ALLAH ini…Al-fathihah buat moyang saya yang berkorban demi agama, bangsa dan tanah warisan kita…malaysia belum wujud lagi masa tu..

nota;

Mengikut cerita orang tua-tua, tok janggut sebenarnya tidak gugur, mayat yang digantung itu hanyalah sebagai proksi sahaja…untuk end up the situation di kelantan…

Comments (5) »

Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa Bersejarah

sjk

Salam.

Salah sebuah koleksi yang saya kumpul sejak 20 tahun yang lalu selain koleksi monograf warisan kelantan. Ia setebal 39 ms diterbitkan pada tahun 1981 sempena hari keputeraan al-sultan kelantan, sultan ismail.

Penulisnya ialah abdullah b. mohamed@nakula dan diterbitkan oleh perbadanan muzium negeri kelantan. Ia memuatkan cerita pasal kelantan purba, berkenaan zaman empayar jawadwipa (refer entri kedah mengikut catatan silam), zaman empayar sri wijaya, zaman empayar sampugita, zaman empayar jawaka dan malayur, zaman majapahit, zaman patani dan zaman kelantan merdeka.

Bahagian kelantan moden pula berkaitan kebangkitan long yunus sebagai pengasas dinasti raja kelantan hingga sekarang, peperangan saudara di kelantan dan kisah sultan kelantan;

1) Long yunus (1765-1794)

2) Long muhammad@sultan muhammad 1 (1800-1837)

3) Long senik mulut merah@sultan muhammad II (1837-1886)

4) Long sulung@sultan ahmad (1886-1889)

5) Long kundur@sultan muhammad III (1889-1890)

6) Long mansur@Sultan mansur (1890-1899)

7) Long senik@sultan muhammad IV (1899-1920)

8) Tengku ismail@sultan ismail  (1920-1944)

9) Tengku ibrahim@sultan ibrahim (1944-1960)

10) Tengku yahya petra@sultan yahya petra (1960-1979)

11) Tengku ismail@sultan ismail (1979-)

Terdapat 3 lampiran salasilah yang menarik dan boleh dijadikan rujukan silang dengan buku ahlul-bait.

Buku ini pernah berjasa kepada saya sebagai sumber utama semasa saya buat satu assignment untuk masters saya bagi subjek multimedia..saya dapat A untuk subjek itu…syukur…

Leave a comment »

Syed Mokhtar AlBukhary-Biografi

SMA

Salam.

Semasa kunjungan ke carefour pada hujung minggu, saya tertarik dengan satu buku mengenai jutawan melayu bernama syed mokhtar dan terus grap…buku setebal 200 ms berharga RM19.90. Rupanya di alamanda putrajaya pun tengah display. Satu hari saya khatam sebab semalam cuti hari natal. Hari ni saya bagi pinjam kat kawan saya si nizam untuk dibaca…selalunya kalau dah habis wife saya pula baca tapi buku ni pasal dunia korporat sket so…bagi nizam baca, sebab dia orang akaun..

Pada bab awal saya tertarik dengan apa yang syed mokhtar buat:-

1) Tiap-tiap hari telefon ibunya di alor setar
2) Sebulan sekali ziarah ibunya di alor setar walau sesibuk manapun dia
3) Tiap-tiap tahun beraya dengan ibunya di alor setar bersama keluarga

Saya cuba untuk lakukan perkara no. 1 dahulu, dan cuba no. 2 mula tahun 2013 ni. Syukur sejak saya berumah-tangga selama 14 tahun, kami belum pernah miss balik beraya di rumah ibu saya. Paling tak pun kami mesti balik dalam bulan syawal jugak..masih dalam mood raya..so no 3 je saya mampu buat macam syed mokhtar.. Adakalanya saya jadi benchmark apabila jiran komplen anak mereka kena turn rumah isteri tahun ni dan saya pulak tak miss beraya di rumah ibu saya..sepupu saya pun sama kena perli dengan makcik saya..asyik balik rumah bini dia…Tapi itulah nasihat guru mengaji saya, allahyarham tok imam hussin semasa saya minta dia sign surat kebenaran berkahwin di luar kawasan..Nasihat dia saya pegang, katanya balik selalu jengok mak ayah..saya selalu solat subuh di madrasah dia sebelum saya balik KL, saya mesti peluk dia…imam kampung saya, guru mengaji dan jiran kami yang baik….semoga dia ditempatkan di kalangan orang soleh…

Zaman syed mokhtar membesar

Apabila syed mokhtar cerita zaman kecil dia, dia sebut jalan day, nama lama bagi jalan sultanah alor setar di mana dia tinggal. Ia terbahagi dua bahagian kerana landasan keretapi. Kalau siapa biasa ke alor setar, keluar highway PLUS tol alor setar utara menghala terus selepas trafik light adalah jalan sultanah. Sekarang dah ada fly over so jalan keretapi dah kat bawah. Sebelum naik fly over ada banyak taman-taman perumahan rakyat biasa, termasuklah rumah mertua saya di jalan fajar. Dulu diberi nama perumahan murah kg fajar. Melintasi fly over atau jalan keretapi ada masjid sultanah dan kanannya adalah kawasan elit.

Saya boleh bayangkan apa yang syed mokhtar ceritakan kerana dari rumah kami boleh nampak rumah banglo besar di seberang sana. Dia melihat kehidupannya bersama kaum lain di satu kawasan daif berbanding kawasan elit di seberang sana.

Selain menceritakan perjalanan hidupnya; turut dimuatkan kisah berhenti sekolah, membantu bapa berniaga dan memulakan perniagaan sendiri. Semuanya bermula dengan satu journey kehidupan yang sukar dan bukannya bulan jatuh ke riba untuk mencapai sesuatu.

Dasar ekonomi baru (DEB)

Saya suka buku ini kerana ia turut mendedahkan penghianatan bangsa melayu sendiri kepada bangsanya apabila dasar ekonomi baru (DEB) dimanipulasi oleh mereka-mereka ini. Beliau menunding jari kepada ahli politik dan pembuat keputusan yang khianat kepada usaha murni DEB.

Paling signifikan ialah pengalaman mengambil alih syarikat GLC yang teruk seperti Malaysian Minning Corporation (MMC), Perbadanan Nasional (PERNAS), dan DRB-HICOM. Ini kerana beliau tercabar dengan kemelut dan masalah syarikat yang mana jika dibiar merudum maka jatuhlah maruah bumiputra kerana akan dianggap gagal oleh kaum lain.

Fitnah media dan pengaruh politik negatif terhadap syed mokhtar merupakan ketidak-adilan yang dilemparkan bertubi-tubi. Setelah beliau berjaya, barulah dia menjawap segala tohmahan dan tuduhan yang dibuat sebelum ini..

Melayu & ALI-BABA

Turut disebut bagaimana Lim Goh Tong dari genting cuba beberapa kali untuk membeli kepentingan bumiputra dalam syarikat GLC. Ini merupakan antara sebab kenapa 30% pegangan saham bumiputra dalam perniagaan gagal dicapai kerana ALI-BABA. Orang melayu dapat quota bumiputra lalu dijual kepada kaum lain untuk dapat duit mudah…

30% untuk bumiputra, 70% untuk kaum lain, kenapa nak 30% ?

Persoalan yang syed mokhtar lontarkan ialah, kerajaan hanya sasarkan 30% pegangan bumiputra dalam ekonomi sedangkan kaum bumiputra adalah 60% penduduk di negara ini. Secara logiknya 60% lah pegangan tersebut.

Tetapi 70% lagi adalah untuk kaum lain dan orang asing untuk berdagang di negara ini..Jadi kerana mereka-mereka ini dok kejar yang 30% sedangkan 70% terbuka luas untuk mereka…pelikkan ?

Role model melayu berjaya

Takwa merupakan pegangan syed mokhtar. Buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang oleh ALLAH s.w.t. Dia sangat pentingkan ‘Trust’ dan amanah. Sekali ditipu bayang-bayang pun dia tak mau tengok..Bermakna “tiada maaf bagimu” jika sikap tidak jujur berlaku di kalangan pengurus-pengurus professional beliau…

Apabila kita kaya, kita boleh berbakti kepada mereka yang memerlukan…kepentingan agama dan nasional melebihi segalanya…”walaupun saya mampu beli kereta mewah import, saya pakai proton perdana sebagai tanda sokongan kepada kereta nasional”…

Leave a comment »

12.12.12@12 December 2012

Salam…

Tahun lepas saya signed up wordpress.com pada 11.11.11 @ 11 November 2011, hari jumaat di kuching sarawak. Just to mark satu tarikh yang unik…nak tunggu 100 tahun lagi 11.11.2111, tak sempat dah masa tu..

Hari ni pula 12.12.12 @ 12 December 2012, ramai yang kawin hari ni sebab nak mark tarikh yang istimewa di abad ini..

8 tahun yang lalu, lebih kurang jam 14.30, hari ahad 12.12.2004, ayah saya pergi buat selama-lamanya..al-fatihah buat ayahanda..

Wassalam.

Leave a comment »

8 Disember

Salam.

Hari ini 8.12.2012, 71 tahun yang lalu 8.12.1941, kira-kira jam 12.25 pagi, tentera jepun mendarat di pantai kuala pa’amat berhampiran pantai sabak, pengkalan chepa, kota bharu kelantan.

Peristiwa tersebut berlaku 1 jam setengah sebelum serangan di pearl habour. Ia menandakan bermulanya perang dunia kedua di asia tenggara di bawah anjuran jepun.

Arwah nenek saya sering bercerita tentang kezaliman jepun. Ramai yang kena tampar, pukul, terajang oleh tentera jepun. Paling ditakuti ialah apabila jepun mencari orang-orang untuk jadi buruh paksa pembinaan landasan keretapi di thailand dan burma.

Pada ketika inilah dikatakan ramai orang mencari alternatif bagi melindungi keluarga dan hasil tanaman daripada jepun dengan mengamalkan ilmu belaan terutamanya hantu raya. ALLAHuaklam bissawab…

Leave a comment »

Si Bongkok Tanjung Puteri

O

Salam.

Masa kecil-kecil dahulu kat rtm mesti ada lagu patriotik. Sampai sekarang boleh ingat dan rasa sayang pada tanahair ditanam sejak kecil oleh kerajaan. Antara lagu yang sampai sekarang masih boleh ingat ialah lagu tanjung puteri;

Tambak Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri

Tanjung puteri adalah nama lama bagi johor bahru. Dari posisi dataran johor bahru di seberang selat tebrau sana ialah singapura, tanah melayu yang jatuh ke tangan asing. Mengikut bait lagu, tambak johor tanjung puteri, umpama aur dengan tebing yang tidak boleh dipisahkan walaupun sepatutnya johor dah ada jambatan bengkok menyambung tanah melayu ke singapura.

Bait lagu tanjung puteri turut menyentuh pasal si bongkok…siapakah si bongkok ini sampai orang masukkan dalam lirik lagu..?

Si Bongkok

Si bongkok adalah pejuang yang dilupakan. Mengikut cerita lisan, beliau dilahirkan bongkok ke kanan dan mukanya herot ke kanan. Badannya besar dan gagah serta pandai bermain senjata, malah pakar ilmu kelautan dan pelayaran. Dia ada seorang adik bernama panglima putih.  Mereka berebut seorang gadis bernama tanjung. Si bongkok dikatakan mati setelah bertarung dengan panglima putih. Kedua mereka dikatakan orang laut kerana memiliki kepakaran sebegitu.

Si bongkok dikatakan ketua lanun yang merampas kapal-kapal barat kerana sangat marah dengan penjajah. Dia menjadi idola kerana bersifat lanun yang baik kerana bertindak hanya ke atas kapal-kapal penjajah. Pada ketika itu british sudah menguasai singapura dan cuba menjajah johor pula. Si bongkok amat marahkan british dan melanun di sekitar selat tebrau dari pengerang hingga ke kukup, sekitar kuala sungai johor dan di perairan singapura.

O

Peristiwa itu berlaku antara tahun 1855-1870 ketika johor diperintah oleh temenggung daeng ibrahim. Pada tahun 1855, pusat pentadbiran johor berpindah dari teluk belanga singapura ke tanjung puteri.

Kegiatan si bongkok turut membimbangkan gabenor negeri-negeri selat, W.J Butterworth. Namun si bongkok sukar dihapuskan kerana dia dikatakan tidak lut besi malah pandai bermain senjata.

Pusara si bongkok jika mengikut bait lagu adalah di lereng bukit tanjung puteri namun ahli sejarah percaya pusaranya adalah di tanjung belungkur, kampung halaman beliau. Ada yang kata pusara asal di bukit tanjung puteri tetapi dipindahkan oleh adiknya panglima putih ke tanjung belungkur. Jika pantai lido pun hanya tinggal kenangan akibat pembangunan, tidak hairanlah jika bukti pusara si bongkok sukar ditentukan lokasinya namun ia tetap abadi pada lagu tanjung puteri.

Sejarah si bongkok dipadamkan kerana sejarah ditulis oleh penjajah. Pemerintah pada zaman itu turut menganggap beliau sebagai lanun. Perkara yang sama berlaku kepada tok tanggut di kelantan, pejuang atau penderhaka ?.

Leave a comment »